Sila baca, fahami dan bersetuju dengan syarat-syarat di bawah. Hanya yang telah membaca dan bersetuju dengan semua syarat dibawah, dibenarkan menginap di rumah wakaf.
Rumah Wakaf Madinah (RWM) ini disediakan untuk asnaf, yang dalam kecemasan, ahli-ahli PKDZS dan bukan bersifat rumah penginapan komersial.
Setiap tetamu dibenarkan menempah maksimum sehingga 14 hari sahaja. Berilah peluang kepada tetamu yang lain yang ingin menginap. Walau bagaimana pun tetamu yang melebihi 14 hari menginap dibenarkan duduk sekiranya ada kekosongan, dan diminta bersedia melepaskan kepada tetamu baru sekiranya mereka memerlukan.
Tetamu Rumah Wakaf diminta menjaga adab dan tatasusila sebagai tetamu Allah.
Sentiasa menjaga kebersihan bilik, tempat umum seperti dapur, ruang tamu dan bilik air. Rajin mengemas katil dan kemudahan bersama yang lain. Tandas sentiasa dibersihkan selepas digunakan untuk kegunaan tetamu yang lain. Masukkan cadar dan sarung bantal yang telah digunakan ke dalam bakul cucian yang disediakan. Cuci cadar dan sarung bantal yang telah digunakan. Tiada orang lain yang akan mencuci dan membersihkan katil-katil, bilik dan lain-lain. Berpakat sesama tetamu yang lain. Islam adalah bersaudara. Anggaplah tetamu yang lain seperti adik-beradik kita.
Daftar masuk atau keluar adalah selepas Subuh hingga masuk waktu Zohor. Selepas waktu tersebut, mudir tidak dapat membantu kerana terikat dengan kerja-kerja peribadi. Sila lihat video di halaman utama website bagaimana untuk daftar masuk RWM.
Sila isi maklumat pelawat pada Buku Pelawat yang disediakan di rumah wakaf.
Sebelum daftar keluar, pastikan bilik sentiasa kemas dan bersih dan sampah sarap terutamanya sampah makanan dibuang keluar dari bangunan. Kasut dan selipar hendaklah sentiasa diletakkan di dalam apartmen di rak kasut yang disediakan.
Khidmat mudir rumah wakaf bukan 24 jam. Oleh itu beri kerjasama sepenuhnya kepada mudir yang bertugas. Sentiasa membantu mudir dalam apa keadaan sekali pun.
Katil-katil yang disediakan adalah percuma. Pengunjung hanya dikehendaki menyumbang kepada caj air & elektrik RM15/katil/hari dan ahli RM5/katil/hari
Sumbangan bagi bilik keluarga pula adalah RM30/bilik/hari.
Tiada sistem air panas disediakan di rumah wakaf atas faktor keselamatan kerana rumah wakaf kerap terputus bekalan air. Cerek air panas disediakan disetiap dapur bagi kemudahan menjerang air untuk digunakan.
Pengunjung dibenarkan memasak di rumah wakaf. Bahan mentah makanan hendaklah disimpan didalam peti sejuk dapur yang disediakan.
Sentiasa menjaga kebersihan dapur untuk kegunaan tetamu lain terutama selepas memasak dan makan. Sila basuh semua peralatan memasak, pinggan mangkuk, cawan dll selepas digunakan, Sekiranya sabun atau span habis, sila beli sendiri dan maklum kepada mudir yang menjaga.
Hormati dan sentiasa mengukir senyuman kepada tetamu yang lain. Senyuman adalah ibadah. Keharmonian menginap di rumah wakaf hendaklah sentiasa diutamakan.
Sentiasa memaafkan kekhilafan dan kesilapan orang lain. Sifat memaaf adalah salah satu sifat Rasulullah yang terpuji.
Rajin bersedekah tenaga dan membantu sesama tetamu. Hari Sabtu merupakan hari bergotong royong membersihkan bilik-bilik bermula sejam selepas Zohor sehingga sejam sebelum Maghrib.
Sentiasa bertanya kepada mudir apa yang kita boleh bantu beliau. Semoga Allah mengampuni, merahmati dan memberi ganjaran yang tinggi kepada kita semua.